Sunday, April 12, 2009

KURSUS BUDAYA TEGUR MENEGUR ( CAKNA PELAJAR )

Tarikh : 22/12/2008 ( Isnin )

Masa : 8.00pg – 4.00ptg

Tempat : Hotel New Pacific, K. Bharu, Kelantan.


1.0 Pendahuluan

Tugas seorang pendidik sememangnya bukan sesuatu kerjaya yang mudah kerana guru telah diamanahkan dan juga dipertanggungjawabkan ke atas proses pembelajaran dan pembentukan moral anak-anak didik mereka. Institusi sekolah memainkan peranan yang tiada tolak bandingnya dalam pembentukan holistik seorang individu.


2.0 Rasional

Pada hakikatnya, pendidikan mementingkan pembinaan insan secara menyeluruh dan bersepadu merangkumi semua aspek, dibangunkan akal, hati, emosi, rohani dan jasmani, akhalak dan keterampilan . Ini memandangkan pendidikan menyiapkan manusia untuk menghadapi kehidupan baik dalam keadaan senang atau susah, maupun dalam keadaan damai atau sebaliknya. Pendidikan juga menyiapkan pelajar untuk menghadapi masyarakat dengan segala kebaikan dan kejahatan yang ada di dalamnya, manisnya dan pahitnya. Inilah hakikat kehidupan yang terpaksa dihadapi oleh setiap individu yang bernama insan.

Justeru itu, untuk melahirkan individu yang hebat ini guru mempunyai tugas yang sangat besar mendidik, membimbing dan mengasuh anak didik mereka sehingga mereka menjadi insan yang soleh, musleh dan sentiasa menaburkan jasa kepada keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan umat seluruhnya. Dalam hal ini budaya tegur menegur atau nasihat menasihati adalah sangat wajar dihidupkan dan dilarutkan dalam institusi sekolah khususnya teguran guru terhadap anak murid apabila melihat ketempangan berlaku dalam kalangan mereka samada ketempangan dari segi cara mereka berfikir, berbicara, bertindak dan sebagainya secara hikmah.


3.0 Faktor yang mendokong keberhasilan pendidikan

1. Iman yang kuat dan keyakinan yang tidak bergoyang bahawa pendidikan atau tarbiahlah satu-satunya jalan untuk merubah masyarakat, membentuk pemimipin dan mencapai cita-cita yang diimpikan.

2. Perancangan pendidikan yang strategik, tujuan dan langkah yang terang dan tepat serta mempunyai falsafah yang jelas yang digali dari ajaran Islam.

3. Suasana kerja berpasukan yang positif , dibina di atas keimanan dan keikhlasan .

4. Pendidik yang mendidik dengan bakat, ilmu dan pengalamannya serta dianugerahkan kepadanya kekuatan iman, akan memberi kesan yang baik kepada setiap hati anak didik yang berhubung dengannya.


4.0 Objektif

§ Berwawasan yang jelas dan berkemahiran yang tinggi

§ Berjiwa penyayang dan sentiasa menyantuni pelajar

§ Bersikap optimis dan positif serta peka dengan perkembangan semasa

§ Berkeupayaan mengamal cara kerja yang berkesan

§ Sentiasa berusaha membangunkan diri.


5.0 Penutup

Program di atas telah berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Ceramah ”Tegur menegur Budaya Kita” telah disampaikan dengan pendekatan yang sangat baik. Semoga budaya tegur menegur akan dapat digarapkan dan disemarakkan ke dalam diri semua warga sekolah, dipermudahkan lagi dengan adanya kerjasama yang jitu dalam kalangan semua warga sekolah. Justeru itu, melalui program ini pihak sekolah menaruh harapan yang tinggi agar semua staf dapat dibina persefahaman mereka, kasih sayang dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap tugas.

No comments: